Sabtu, Januari 17, 2009

palestin tanah air orang islam..

Sebenarnya kisah Palestin tenggelam dan timbul kerana banyak isu lain yang lebih diutamakan di dalam akhbar-akhbar dan media massa. Sehinggalah beberapa hari ini Israel semakin mengganas dan membunuh lebih 300 orang Palestin. Apa hebatnya Palestin sehingga semua umat Islam perlu mengambil cakna kepadanya? Palestin dianggap tanah suci umat Islam berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud : "Wahai kaumku! Masuklah kamu ke tanah suci yang telah Allah swt perintahkan bagi kamu sekalian." (Surah al-Maidah : ayat 21) Palestin adalah tanah yang diberkati Allah. Firman Allah swt yang bermaksud : " Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah kami berkati di sekelilingnya. (Surah al-Isra' : ayat 1) Firman-Nya lagi yang bermaksud : " Dan telah Kami tundukkan untuk Sulaiman angin yang sangat kencang tiupannya yang berhembus dengan perintah-Nya ke negeri yang telah Kami memberkatinya. Dan adalah Kami Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah al-Anbia' : ayat 80) Di tanah itu terdapat Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat umat Islam yang pertama sebelum ditukar ke Masjidil Haram menghadap Kaabah. Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud :" Tidak digalakkan mengambil berat dalam pengembaraan kecuali kepada 3 masjid : Masjid al-Haram, masjid ini (Masjid Nabawi) dan Masjid al-Aqsa." (Riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Abu Daud) Di bumi ini, terdapat ramai pesuruh Allah swt yang diutuskan di antaranya adalah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak dan Nabi Luth. Di sini juga adalah bumi Nabi Muhammad saw diisra'kan. Allahu... Allah... Bangunlah Wahai Pahlawan Islam Bumi ini pernah diperintah oleh Kristian selama beberapa ketika dan akhirnya jatuh ke tangan pahlawan Islam yang terkenal iaitu Salahuddin al-Ayyubi, seorang pemuda bangsa Kurdi, bukan berbangsa Arab. (Sesiapa yang berjuang di atas nama Islam, pasti Allah akan tingkatkan darjatnya) British telah mengisytiharkan penubuhan negara haram Yahudi menerusi Perjanjian Balfour pada 2 November 1917 dan mendapat persetujuan Amerika Syarikat pada 31 Ogos 1918. Pelajar Melayu yang belajar di Mesir pernah berjuang dengan menubuhkan Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) yang kemudiannya ditukar nama kepada Persekutuan Melayu Mesir (1952) dan akhirnya nama yang terakhir adalah Persekutuan Melayu Republik Mesir, PMRAM (1971) bersama-sama kerajaan Mesir pada masa itu untuk memerangi tentera Israel yang bergabung dengan Perancis dan British. Pada 29 Oktober 1956, di atas semangat persaudaraan Islam, PMRAM telah menyertai tentera Mesir memerangi tentera musuh hingga ke perbatasan Suez. Para pelajar yang tidak berkeupayaan menyertai jihad ini telah memberi sumbangan dengan menderma darah. Golongan siswi pula tidak ketinggalan memberikan sumbangan menerusi khidmat menjahit pakaian tentera. Mereka Saudara Kita Dan kini bumi Palestin telah digemparkan sekali lagi dengan peristiwa pembunuhan yang seolah-olah tidak akan sampai ke penghujungnya sehinggalah Yahudi melalui Israel Zionis menguasai setiap inci tanah Palestin. Namun yang perlu kita fikirkan adalah nasib saudara-saudara seIslam yang terkorban dan al-Aqsa di bawah penguasaan Israel Zionis. Apa yang dapat kami bantu wahai saudaraku... 1. Sekiranya anda seorang guru, ustaz, penceramah, rakan-rakan yang sedar dan cintakan saudara seIslam serta al-Aqsa, sampaikanlah kepada mereka akan kepentingan Palestin, Masjidil Aqsa serta semaikan di jiwa mereka kisah pahlawan Islam dan penderitaan saudara kita di sana. Sesungguhnya kita ini disatukan dengan kalimah La ila ha illaAllah. 2. Sekiranya anda berkemampuan dari segi kewangan maka bolehlah menderma di sini. 3. Sampaikan berita-berita terkini mengenai Palestin dan umat Islam di negara lain melalui emel, YahooGroup, SMS, MMS, majalah dan sebagainya sebagai medium penyampaian untuk memberi kesedaran kepada umat Islam dan rakyat Malaysia .