Isnin, Januari 12, 2009

yang teristimewa.......

Sambil membasuh pinggan di singki, fikiranku melayang-layang. Teringat kepada SMS yang ku terima dari anak lelakiku yang masih di peringkat matrikulasi UIA. "Mak......test fizik tadi,boleh juga jawab, tapi sebab careless ada yang tersilap." Begitulah bunyi SMS daripada Salman. Sebagai ibu, apa patut aku balas? Apa yang aku rasa tidak mungkin dapat diluahkan melalui SMS. Lalu, aku bingkiskan segera surat ini untuknya. Bismillahirrahmanirrahim. Man yang dikasihi, assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah dengan izinNya emak dapat menulis surat ini untuk tatapan Man. Selawat dan salam buat junjungan mulia, Rasulullah SAW. Apa khabar? Semoga Man berada dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa menghubungkan hati dengan Allah SWT dan dekat padaNya. Man masih ada test lagi? Mak harap Man terus berusaha. Belajar di universiti tak sama dengan belajar di sekolah. Di U, ujian selalu diadakan dan peratus markah sentiasa dikumpulkan untuk dicampurkan dengan ujian semester akhir. Ini dibuat bertujuan untuk menggalakkan kita mewujudkan suasana pembelajaran yang berterusan dan mengelakkan kita dari membuang masa dan lalai. Mak tahu...memang Man akan rasa bebanan dan tuntutan belajar tu, tapi itulah hakikatnya. Kita pemuda-pemuda Muslim perlu berjuang untuk menjadi individu unggul yang cemerlang demi Allah yang jadikan kita dan deen yang kita junjung ni. Islam sangat menuntut umatnya mencari ilmu, mendalaminya...dan mengaplikasikannya demi kesejahteraan ummah, dan demi keunggulan ummah Islam keseluruhannya. Mungkin jika kita berusaha untuk cemerlang atas dasar kepentingan diri sahaja. Kita tidak jelas dan tidak bermotivasi. Tapi sekiranya kita jelas akan hakikat tuntutan terhadap diri, maka kita akan berusaha sungguh-sungguh kerana kejayaan itu bukan untuk diri kita sahaja, tapi kejayaan kita adalah kejayaan semua. Kita perlu menunjukkan contoh yang baik demi Allah yang menjadikan kita, demi keredhaanNya, dan demi deenul Islam itu sendiri. Man yang dikasihi, mak harap Man jelas akan matlamat ini, keredhaan Allahlah yang kita dambakan dalam apa jua tindakan kita. Mak tahu memang payah...memang susah belajar di sana... tapi itulah jihad bagi kita. Dalam hal ini, mak nak ingatkan jagalah hati dan fikiran serta tindakan kita. Utamakan solat pada waktunya. Walaupun Man sibuk kuliah,usahakan supaya dapat berjemaah di surau kampus. Jangan tinggalkan zikir Al-Mathurat setiap pagi dan sentiasa bertadabbur al-Quran. Ingat tak? Seorang yang alim yang selalu sujud kepada Allah selama 500 tahun dan apabila ia mati, Allah kata kepada malaikat, masukkannya ke syurga dengan rahmatKu. Lalu orang itu melarangnya dan meminta ia dimasukkan ke syurga atas amal-amalnya. Apabila malaikat mengiranya..tak cukup untuk melayakkan ia masuk syurga kerana jika dikira nilai amal manusia dengan anugerah Allah yang beri kepada kita sangat besar. Sujud 500 tahun tidak cukup membayar nilai sepasang mata untuk melihat. Jadi orang alim itu pun menyesal dan memohon pada Allah supaya masukkan ia ke syurga dengan rahmatNya. Begitulah hakikat diri kita Man..terlalu kerdil. Orang mukmin perlu ada dua sifat ini yang mengiringi perjalanan hidupnya iaitu, sifat raji' dan sifat taqwa. Dua sifat ini iaitu takut dan berharap perlu ada dalam hatinya, barulah menjadi manusia yang sentiasa menharap redha Allah dan takut amal-amalnya tidak diterima. Sebenarnya, Allah nak tarbiah kita sebagai hambaNya supaya tidak terlalu yakin dan merasa puas hati dengan prestasi kita walaupun telah melakukan yang terbaik. Sahabat-sahabat pada zaman Rasulullah SAW sentiasa ada sifat ini sebab itulah Allah memberi kejayaan kepada mereka. Keberkatan dan rahmat Allah mengiringi mereka sehingga muncul generasi unggul yang tiada tolok bandingnya hingga kini. Tiada apa yang kita boleh banggakan dan berhak tuntut selain hanya boleh beerusaha sekaligus memulangkan hasilnya kepada Allah SWT. Mak teringat ujian fizik Man yang Man beritahu baru-baru ini. Tak apalah..tak boleh jawab sepenuhnya pun..usaha lain kali. Tapi ingat! Iringilah dengan ibadah yang kuat kepadaNya. Insya-Allah, Dia akan lebih dekat dengan kita. Hiasilah malam hari dengan solat sunat, munajat dan beristighfar kepada Nya. Itulah orang mukmin yang cerdik dalam erti kata sebenarnya. Cukup disini dulu Man. Insya-Allah, Mak akan menulis lagi. Salam juga dari Ayah dan adik-adik di kampung. Mak harap Allah mengurniakan kekuatan dan kesihatan kepada Man untuk terus berjuang. Mak doakan agar Man sentiasa diberi rahmat oleh Allah SWT. Wassalam... Salam sayang, Emak